March 13, 2014

Surat dari kubur

  • Assalam'mualaikum wbt,
  • Bismillah ...
  • Nota yang berkesan dari U-MKI .
  • Ya Allah,jemput la kami dalam menjadi tetamu istimewamu untuk menunaikan haji. Murahkan la rezeki kami, sihatkan la tubuh badan kami agar kami boleh beribadat kepadamu Ya Allah. Sesungguhnya tanah harammu adalah tempat yang paling bahagia dapat kami jejaki. Ampunkan la dosa-dosa kami .. jemputlah kami menjadi tetamu istimewamu.
  • ********************************************************
  • SURAT DARI KUBUR

    10/5/1435
    Apa khabar prof? 
    Masih ingat kami lagi? Sudah lama saya tidak menulis pada Prof. Saya hendak memanjatkan rasa syukur pada Allah SWT kerana prof dan Kak Roza merupakan salah seorang insan yang dipilih Allah untuk mendorong saya lebih mendekatiNya.
    April, 2009 saya diperkenal dengan buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman oleh seorang sahabat. Beliau juga banyak membantu dalam usaha saya mendekatkan diri dengan Allah. Saya tidak tahu samada sempadan itu telah saya rentasi atau tidak. Walaubagaimanapun pada Jun 2009 – dengan izin Allah – saya dan isteri telah selamat mengerjakan umrah. 
    Pulang sahaja dari Tanah Suci, dengan perasaan meluap-luap, dada berdebar-debar dan Kaabah masih terasa-rasa di depan mata – lalu pada 6 Julai 2009 – saya terus membuka akaun Tabung Haji. Saya terus mendaftar untuk menunaikan fardhu haji dengan hanya bermodalkan RM1800. Saya dimaklumkan oleh pegawai bertugas, 
    Giliran Encik pada tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi. 
    Kelihatan ia kenyataan keluar tanpa perasaan. Namun saya yang mendengar terasa seperti ada kapalterbang terhempas di atas kepala. Sesak nafas dibuatnya. Bagaimanapun – jauh di sudut hati – saya yakin Allah SWTlah yang menentukan pergi atau tidak saya ke Tanah Suci. Saya bertawakal dan berusaha mengikut jejak langkah Prof. Berpucuk surat rayuan saya tulis. Ketetapan Allah tidak ada siapa yang dapat menghalang. Tanggal 20 August 2010 – ketika dalam perjalanan ke Melaka – saya diberitahu, 
    Encik, alhamdulillah, tahniah. Encik – suami isteri – telah terpilih untuk mengerjakan haji tahun 2010.

    Airmata saya berderai. Saya tidak menghiraukan kereta di sisi. Siapa menduga, saya yang baru sahaja membuka akaun setahun sebelumnya dan hanya berbekalkan duit RM1800 telah terpilih mengerjakan haji secara muassasah. 
    "Aja, kita terpilih untuk pergi Haji tahun ini," tersekat suara saya di kerongkong. 
    “Betul ke ni bang? Ya Allah, Alhamdulillah,” isteri seperti tidak mahu percaya. 
    Tangan saya terus mendial nombor sorang sahabat, "Din, aku dapat pergi Haji tahun ini, terima kasih banyak-banyak, Ia berkat doa ko, aku terpilih". 
    Suara tersekat dan talian pula terputus. Ia seolah-olah memberi ruang kepada kami berdua untuk bertafakur dan bertahmid. Tidak lama kemudian isyarat SMS masuk berbunyi. Ia benar-benar pesanan ringkas dari seorang sahabat yang terkesan, "sukanya aku. Menitik air mata aku. Syukur alhamdulillah". 
    Namun kegembiraan tidak bertahan lama. Dugaan Allah datangnya dalam pelbagai rupa. Majikan tidak membenarkan saya pergi atas alasan notis makluman yang terlalu suntuk, kekurangan staf, pembukaan syarikat dan produksi baru.  Hanya Tuhan yang mengetahui perasaan kami. Saya merayu kepada Tabung Haji untuk menunda pemergian kami ke tahun hadapan. Ia ditolak. 
    Saya pasrah. Allah memberi, Dia juga yang mengambilnya semula. Saya melangkah longlai ke bangunan 30 tingkat Tabung Haji untuk menyerahkan sendiri surat penolakan. Saya terhenti seketika. Sambil menyandar di dinding kaca, jari menekan nombor telefon bimbit majikan. Percubaan terakhir yang digerakkan oleh Allah SWT. 
    Subhanallah, siapa sangka majikan berbangsa Jepun yang tidak mempercayai Tuhan dan agama itu boleh berkata, 
    Saya tidak tahu bertapa pentingnya perjalanan haji ini kepada seorang Muslim. Saya bagi kebenaran tetapi kamu pastikan semua kerja berjalan lancar sebelum berangkat.

    Labbaikallah, Labbaikallah, Labbaikallah. 
    Lidah saya kelu, hanya pemulaan talbiah itu bergema di dalam hati. Hambamu datang ya Allah, hambamu datang ya Allah… lalu air mata saya menitis, hilang malu pada orang yang lalu lalang. 
    Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan.

    Itulah makna surah Ar-Rahman yang kerap prof ungkapkan di dalam buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman. Ia terngiang-ngiang di telinga. 
    Prof, warkah ini saya utuskan kerana ingin berkongsi kegembiraan ini bersama-sama prof, salah seorang insan yang Allah datangkan bagi membuka mata hati yang telah lama tertutup dek karat dosa-dosa yang telah saya lakukan. Allah mahu saya datang kepadaNya, merasai sendiri dengan seluruh anggota badan ini betapa Agung, Besar dan Mulianya Allah dan bertapa hinanya pula saya sebagai hambaNya. 
    Ada sahabat mengatakan perjalanan haji saya mirip prof. Saya terpilih atas kuota menteri. Seperti juga prof, bila ditanya, saya menjawab, "saya memang kenal menteri tersebut tetapi beliau tidak mengenali saya”. 
    Saya juga tidak sempat mengikuti kursus bersiri dan intensif. Hanya berbekalkan pembacaan sendiri dan ilmu yang diajar oleh ayah, ibu dan sahabat-sahabat yang pernah ke sana. Saya juga bakal masuk ke Mekah terlebih dahulu. Saya juga pergi dengan pakej muassasah. Saya malu disamakan begitu kerana prof telah jauh pergi meninggalkan saya. Saya tahu, saya masih merangkak untuk mendekatiNya. 
    Namun saya percaya, tidak ada perkara yang berlaku secara kebetulan, semuanya atas ketentuan Allah dan hanya Dia yang tahu hikmah di sebaliknya. Cuma yang saya tahu, setiap rentetan peristiwa di dalam bukuTravelog Haji Mengubah Sempadan Iman, saya hayati betul-betul dan kami suami isteri benar-benar mendambakan diri agar terpilih sebagai tetamuNya yang paling, paling, paling istimewa. Insya Allah. 
    Perjalanan haji kami masih jauh. Pelbagai perkara boleh berlaku. Doakan agar kami diberi kelapangan masa yang secukupnya, dipermudahkan urusan haji dan dikurniakan haji yang mabrur. 
    Wassalam
    Muzaffar Bin Hj Adnan

    NotaMKI: Haji Muzaffar telah selamat menunaikan fardhu haji bersama isteri pada 2010 dan meninggal dunia pada Oktober 2012 ketika usia yang sangat muda. Lalu saya namakan Surat dari Kubur kerana ia dibaca selepas dua minggu beliau dipanggil pulang. Semoga roh beliau aman di sana dan moga kami saling dapat memberi ucap selamat di Firdaus. 
    Allahu Akbar.

1 comment:

Bada Ariff said...

Allah Maha Mengetahui

al-fatihah